PUSAT PERKELAHAN TANJUNG BALAU DI BANDAR PENAWAR KOTA TINGGI JOHOR
Terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandaraya Johor Bahru melalui Lebuhraya Senai- Desaru terdapat sebuah pusat peranginan yang indah dan menyimpan pelbagi rahsia, iaitu pusat perkelahan Tanjung Balau.
Pusat perkelahan yang tidak asing lagi bagi penduduk di sekitar bandar Kota Tinggi dan Bandaraya Johor bahru ini, memiliki panorama alam semula jadi ciptaan tuhan yang begitu menakjubkan bagi setiap pengunjung, baik dari daerah ini mahupun pengunjung dari luar. Pantainya bukan sahaja bersih bahkan memiliki hamparan pasir yang memutih dan terbentang luas, membolehkan pelbagai aktiviti riadah dilakukan di sini. Tambahan pula, deruan angin sejuk dari laut yang agak kencang, tidak pernah jemu membalai pantai menjadikan pantai ini menjadi pilihan pengunjung untuk bersantai terutama pada hari kelapasan am dan pada cuti hujung minggu. Para pengunjung pastinya berasa tenang ketika menyaksikan hamparan dada laut yang membiru disertai oleh ombak yang tidak pernah jemu membelai pantai. Pantai yang terbentang luas ini diserikan lagi oleh bonjolan-bonjolan batu yang mempunyai pelbagai bentuk yang unik dimamah usia.
Pusat perkelahan yang dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ini, tersedia pelbagai kemudahan asas untuk para pengunjung seperti medan selera, tempat letak kereta percuma, tandas awam, pusat penerangan, dan lain-lain. Tidak jauh dari sini, para pengunjung berpeluang untuk meluaskan pengetahuan dengan berkunjung ke Muzium Nelayan. Bagi mereka yang meminati aktiviti perkhemahan pula, terdapat tapak yang dikhaskan untuk aktiviti ini. Inap desa dengan sewa yang amat berpatutan juga disediakan untuk para pengunjung yang ingin menginap di pusat perkelahan ini bagi menikmati suasana yang mendamaikan pada waktu malam.
Bagi pengunjung yang ingin beristirahat bersama-sama keluarga bolehlah menyediakan makan sendiri seperti saya ni...,kerana di sini disediakan tapak untuk kita membuat barbeku ayam, daging, ikan dan sebagainya sambil bersantai. Angin kencang yang bertiup memudahkan para pengunjung untuk menyalakan api bagi membuat barbeku. Jom, kita makan sama........
Sambil menikmati juadah yang telah disediakan, para pengunjung boleh duduk-duduk dan bergurau senda bersama-sama ahli keluarga sambil mendengar muzik. Disebabkan suasana yang nyaman dan mendamaikan ini pastinya kita dapat menikmati hidangan dengan berselera sekali. Jangankan ayam barbeku, ubi rebus dengan ikan masin dan sambal tumis pun sudah cukup menyelerakan. Setelah perut kenyang,....kita boleh baring-baring untuk melelapkan mata barang seketika. Amboi,.....lena sekali!
Selepas itu, para pengunjung boleh ambil angin dengan berjalan-jalan di tepi pantai yang bersih dan memutih itu sambil bermain air. Namun begitu, anda tidak dibenarkan bermandi-manda kerana ombaknya agak besar serta dasar laut di tempat ombak pecah dan ombak balik agak curam. Pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda amaran yang melarang para pengunjung bermandi-manda atau berenang di laut. Hampir saban tahun kita mendengar berita pengunjung lemas di tempat perkelahan ini kerana mereka tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sebagai akibat terlalu seronok, mereka lupa akan keselamatan diri atau ahli keluarga mereka. Oleh itu, para ibu bapa dinasihatkan agar berwaspada ketika berkelah di sini, khususnya mereka yang membawa anak-anak kecil, jangan biarkan mereka mandi di laut, terutama ketika ombak besar.
Ok, jum..matahari pun kian condong ke ufuk barat dan banyak pengunjung telah mula meninggalkan tempat perkelaahan ini, biarlah saya dan keluarga saya meminta izin untuk pulang ke rumah. Namun begitu, berat rasanya hati ini untuk mengatur langkah meninggalkan pantai yang memiliki keindahan yang menakjubkan ini.