BAHASA MELAYU

SEMUA PIHAK HARUS BERGANDING BAHU KE ARAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DAN BAHASA RASMI DI MALAYSIA.

Sunday 5 October 2014



KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA DAN PAPAN IKLAN DI NEGARA KITA.















APAKAH TINDAKAN YANG PATUT DIAMBIL BAGI MEMBENDUNG MASALAH PENGGUNAAN BAHASA MELAYU YANG SALAH PADA PAPAN TANDA.


Bagi mengelakkan masalah pencemaran bahasa ini, tanggungjawab sesebuah kementerian, jabatan atau agensi adalah sangat penting. Antara langkah yang boleh diambil oleh kementerian, jabatan atau agensi tersebut adalah seperti yang berikut:
(1) memastikan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan Bahasa Melayu yang baik dan betul dalarn semua urusan rasmi, sama ada secara tulisan mahupun lisan, dengan rakan sekerja dan apabila berurusan dengan pelanggan (kecuali urusan yang melibatkan negara asing dan untuk tujuan melatih pegawai dan kakitangan supaya fasih berkomunikasi dalam bahasa asing).

(2) mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, kawasan perumahan, premis pemiagaan dan lain-lain. Bahasa-bahasa lain boleh digunakan berdasarkan kepada keperluan sahaja;

(3) menjalankan latihan dan menganjurkan aktiviti secara berterusan yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pegawai dan kakitangan.

Dalam masa yang sama, DBP telah berusaha dalam pengembangan dan peningkatan kualiti bahasa di tempat awam melalui Pantau Tegur Bahasa. Pantau Tegur Bahasa bermaksud mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar bangunan ataupun di dalam bangunan, yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tataBahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan ayat, dan penggunaan laras, ataupun pencampuradukan Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagi memastikan tindakan segera diambil setelah proses pengenalpastian kesilapan dibuat, pemantau disediakan dengan sehelai borang untuk dipenuhi dan dipulangkan kepada DBP. Pegawai DBP yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera menghubungi syarikat atau agensi yang berkenaan bagi membuat pembetulan.
Selain itu, satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang diguna pakai oleh pihak DBP adalah dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa. Tindakan ini akan mengatasi masalah pencemaran Bahasa Melayu ini daripada berleluasa.

Dari segi pendidikan pula, para guru harus menitikberatkan cara penyampaian Bahasa Melayu di dalam bilik darjah terutamanya aspek tatabahasa dalam kalangan pelajar sejak di peringkat sekolah rendah lagi supaya pelajar-pelajar dapat mengetahui kelainan erti perkataan yang imbuhannya berbeza-beza dan menggunakannya dengan betul, tepat dan gramatis dalam lisan dan penulisan, menggunakan frasa yang betul serta menggunakan ayat dengan betul, tepat dan gramatis. Hal ini dapat disokong dengan kenyataan Yahya Othman (2005:11) bahawa rumus tatabahasa yang wujud perlu dipelajari secara beransur-ansur sehingga membentuk operasi kesatuan rumus yang utuh dan berupaya melakukan operasi membina ayat. Abd. Aziz Abd. Talib (2000:236) pula menyatakan bahawa pengajaran tatabahasa membolehkan pelajar-pelajar berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu pelajar menghasilkan ayat yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini akan mengelakkan penggunaan Bahasa Melayu yang tercemar dari segi tatabahasa.

Tambahan lagi, guru juga perlu menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur dan anggapan bahawa Bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Penguasaan Bahasa Melayu yang baik dan teratur dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta juga perlu diberi penekanan. Hal ini kerana merekalah yang akan menentukan sama ada menggunakan Bahasa Melayu yang tercemar ataupun tidak dalam urusan pentadbiran.

Pencemaran Bahasa Melayu ini juga dapat diatasi dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Malaysia. Hal ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan dilaksanakan apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda dan diluluskan Parlimen . Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan notis awam. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sharifuddin Ibrahim pula menyatakan bahawa DBKL sentiasa memantau bagi memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan. Menurutnya, semua pihak di bawah bidang kuasa DBKL terikat dengan Undang-undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan mereka meletakkan Bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan, sekali pun jika ada bahasa lain bersamanya.

Tambahan lagi, pucuk pimpinan yang menerajui negara juga berperanan untuk mengatasi pencemaran bahasa ini daripada berleluasa. Hal ini dapat dilakukan dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua pusat pengajian tinggi tidak kira awam ataupun swasta untuk semua jurusan. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2000:247), pucuk pimpinan perlu melancarkan “Wawasan Bahasa” terhadap pelaksanaan Bahasa Melayu sepenuhnya di pusat pengajian tinggi sama seperti pelancaran Wawasan 2020. Hal ini akan mengurangkan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan mahasiswa yang bakal menceburi alam pekerjaan kerana mereka terdedah dengan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan mereka. 

__________________________________________




 “Kelemahan penggunaan bahasa Melayu mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain di dalam bilik darjah”






Guru mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk menyebarkan ilmu dengan betul kepada pelajar-pelajarnya. Rata-rata pelajar hanya mengharapkan ilmu yang disampaikan oleh guru mereka tanpa berusaha untuk mencari atau menambahnya sendiri terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat kurang membaca termasuklah di kalangan pelajar sendiri.Pengaruh persekitaran juga turut pempengaruhi kelemahan pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan betul(radio, televisyen, papan tanda dsbnya).Semua ini memberi kesan negatif terhadap pertuturan dan pembelajaran mereka. Daripada penulisan(terutama karangan)ada pelajar yang menggunakan loghat/dialek negeri mereka dan tidak kurang juga yang menggunakan singkatan(seperti 'sms') yang telah menjadi budaya masa kini. Guru-guru harus segera mencari jalan mengatasi masalah ini. Penggunaan bahasa Melayu yang betul harus diberi penekanan yang sewajarnya agar ia berada di tahap yang sepatutnya sebagai bahasa rasmi negara. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti menganjurkan aktiviti/pertandingan bercerita, mendeklamasikan sajak, berbalas pantun dan lain-lain lagi. Selain waktu P&P, aktiviti-aktiviti ini juga boleh dijalankan semasa waktu kokurikulum dan kempen-kempen juga harus dipergiat dari semasa ke semasa secara menyeluruh. 





Pencemaran Bahasa Dalam Kalangan Pelajar

















Bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi di Malaysia,telah menjadi wahana pembinaan tamadun di Negara ini sejak berpuluh-puluh tahun dahulu,dengan mengambil kira dari tarikh keramat ini iaitu tanggal 31 Ogos 1957 sebagai titik permulaan.Jika dikaitkan dengan tamadun Melayu di rantau alam Melayu ini,maka Bahasa Melayu telah menjadi asas kepada pembinaan dan pembentukan tamadun kerana Bahasa Melayu telah dikesan menjadi bahasa terawal dalam tamadun awal di rantau ini pada awal abad masihi.Bahasa  merupakan alat perantara bagi kita menyampaikan perasaan atau pemikiran dalam bentuk tulisan,lisan atau isyarat.Justeru,kemahiran berbahasa perlu dipelajari,dan bukan berserah kepada kudrat semula jadi.Perkara yang ingin saya dibincangkan disini adalah berkaitan dengan pencemaran bahasa dalam kalangan pelajar yang semakin meruncingkan dewasa ini.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pencemaran bahasa.Salah satu faktornya adalah daripada pengaruh rakan sebaya.Masyarakat selalu menyalahkan pengaruh rakan sebaya apabila berlakunya sesuatu masalah yang melibatkan remaja.Bagi faktor ini, betapa mudahnya seseorang remaja mempengaruhi remaja yang lain kerana mereka sendiri tidak pasti akan identiti mereka sendiri.Maka,mereka lebih mudah menerima dan mengulang kembali apa yang dilakukan oleh kebanyakan rakan mereka.Ingin mengikut arus,‘trend’.Supaya tidak dikatakan ketinggalan zaman
            Pengetahuan yang lemah juga menyumbang ke arah pencemaran bahasa.Kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa rojak,SMS,bahasa lucah dan sebagainya adalah mereka yang mempunyai pengetahuan cetek dan tidak peka terhadap bahasa yang digunakan dalam berkomunikasi.Selalunya mereka akan menggunakan bahasa harian mereka terutamanya bahasa basahan iaitu bahasa pasar.Di samping itu,budaya asing yang meresap masuk ke negara kita juga merupakan salah satu punca pencemaran bahasa ini berlaku.Hal ini dapat dikaitkan dengan budaya hip-hop yang semakin popular dalam kalangan remaja di Malaysia.Budaya ini menjadi popular dengan kemunculan kumpulan-kumpulan muzik seperti Too Phat.Kemunculan muzik ini membawa kepada pencemaran bahasa kerana penciptaan lirik lagu menggunakan bahasa pasar.



            Selain itu,media massa juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pencemaran bahasa ini berlaku secara berleluasa pada masa ini.Bahasa yang digunakan oleh radio,televisyen,atau akhbar sering menjadi ikutan pengguna bahasa,misalnya drama-drama ataupun rancangan yang disiarkan di kaca televisyen kebanyakannya menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.Di samping itu,sebilangan orang besar dan juga orang ramai termasuk yang membuat ulasan apabila diwawancara di kaca televisyen turut menggunakan bahasa rojak.Perkara-perkara seperti ini membawa kepada berlakunya pencemaran Bahasa Melayu kerana orang ramai akan mudah terpengaruh dengan bahasa yang digunakan di media.
Kesan daripada pencemaran bahasa ini juga akan menyebabkan Bahasa Melayu yang indah akan dipinggirkan oleh generasi Melayu.Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu.Hal ini bermaksud, Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan bagi masyarakat Melayu untuk berkomunikasi antara satu sama lain.Bahasa Melayu mempunyai peranan yang sangat penting,iaitu sebagai bahasa kebangsaan,bahasa pentadbiran, bahasa pengantar,bahasa rasmi dan sebagainya.Dalam perbualan atau pertuturan kita seharian,kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu untuk memastikan Bahasa Melayu tidak ditelan arus pemodenan atau globalisasi.
Di samping itu, pencemaran bahasa ini akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang.Apabila bahasa tercemar maka ini akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut.Generasi akan datang akan terkeliru untuk memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian.Selain itu,jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut.
Kesan yang paling ketara adalah menyebabkan mutu Bahasa Melayu baku sama ada lisan atau tulisan mersot.Perkara ini dapat dilihat dalam bidang pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar.Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan meluas,lama-kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut.Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah.Dengan demikian,mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun dan syair.












Bagi mengatasi masalah pencemaran bahasa adalah perlu langkah-langkah yang drastik diambil bagi memastikan pencemaran bahasa tidak berleluasa.  Antaranya ialah guru-guru perlu lebih prihatin semasa mengajar bahasa Melayu kepada pelajar. Setiap kesalahan pelajar ketika menggunakan bahasa Melayu perlu diatasi dengan segera. Aktiviti kebahasaan perlu sentiasa diadakan bagi memastikan kesalahan-kesalahan berbahasa boleh diperbetulkan. Ini akan mengurangkan kesalahan-kesalahan bahasa  dan sekaligus melahirkan pengguna bahasa yang betul. 


Selain itu, para pelajar sama ada  di peringkat rendah mahu pun di peringkat institusi pengajian tinggi perlu mengubah sikap menganggap bahawa bahasa Malaysia itu mudah. Para pelajar perlu sentiasa peka terhadap perkembangan bahasa Malaysia serta ingin meningkatkan pengetahuan dalam bidang bahasa ini. Para pelajar juga disarankan agar sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Pelajar-pelajar juga disarankan agar banyak membaca buku-buku, majalah-majalah dan bahan bacaan yang tulis dalam bahasa Melayu dan seterusnya dapat meningkatkan pengetahuan
mereka dalam bahasa.
Di samping itu, media elektronik dan bukan elektronik perlu menyekat penggunaan bahasa yang tidak mengikut sebutan baku bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar, penutur dan pengguna Bahasa Melayu. Media massa ini juga berperanan untuk menyekat iklan-iklan dalam Bahasa Melayu yang menyalahi sistem Bahasa Melayu akibat daripada terjemahan yang salah.
Kesimpulannya,pencemaran bahasa ini merupakan suatu isu atau perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.Namun,jika pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh teliti dan kerap,tidak mustahil bahasa kita akan menjadi bahasa antarabangsa yang berada di tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan.Oleh itu,bagi pihak-pihak penerbit majalah atau drama juga haruslah sedar yang mereka juga bertanggungjawab membawa pembaharuan dan penambahbaikan dalam bidang bahasa.Dari sinilah kita mendidik masyarakat agar menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan,sebutan,dan tatabahasa Bahasa Melayu.Akhir kalam ‘Bahasa menunjukkan bangsa’.salam.

























No comments:

Post a Comment