BAHASA MELAYU

SEMUA PIHAK HARUS BERGANDING BAHU KE ARAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DAN BAHASA RASMI DI MALAYSIA.

Monday 24 November 2014


PUSAT PERKELAHAN TANJUNG BALAU DI BANDAR PENAWAR KOTA TINGGI JOHOR





                 Terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandaraya Johor Bahru melalui Lebuhraya Senai- Desaru terdapat sebuah pusat peranginan yang  indah dan menyimpan pelbagi rahsia, iaitu pusat perkelahan Tanjung Balau.

          Pusat perkelahan yang tidak asing lagi bagi penduduk di sekitar bandar Kota Tinggi dan Bandaraya  Johor bahru ini, memiliki panorama alam semula jadi ciptaan tuhan yang begitu menakjubkan bagi setiap pengunjung, baik dari daerah ini mahupun pengunjung dari luar. Pantainya bukan sahaja bersih bahkan memiliki hamparan pasir yang memutih dan terbentang luas, membolehkan pelbagai aktiviti riadah dilakukan di sini. Tambahan pula, deruan angin sejuk dari laut yang agak kencang, tidak pernah jemu membalai pantai menjadikan pantai ini menjadi pilihan pengunjung untuk bersantai terutama pada hari kelapasan am dan pada cuti hujung minggu. Para pengunjung pastinya berasa tenang ketika menyaksikan hamparan dada laut yang membiru disertai oleh ombak yang tidak pernah jemu membelai pantai. Pantai yang terbentang luas ini diserikan lagi oleh bonjolan-bonjolan batu yang mempunyai pelbagai bentuk yang unik dimamah usia.

           Pusat perkelahan yang dimajukan oleh Lembaga Kemajuan Johor  Tenggara (KEJORA) ini, tersedia pelbagai kemudahan asas untuk para pengunjung seperti medan selera, tempat letak kereta percuma, tandas awam, pusat penerangan, dan lain-lain. Tidak jauh dari sini, para pengunjung berpeluang untuk meluaskan pengetahuan dengan berkunjung ke Muzium Nelayan. Bagi mereka yang meminati aktiviti perkhemahan pula, terdapat tapak yang dikhaskan untuk aktiviti ini. Inap desa dengan sewa yang amat berpatutan juga disediakan untuk para pengunjung yang ingin menginap di pusat perkelahan ini bagi menikmati  suasana yang mendamaikan pada waktu malam. 




          Bagi pengunjung yang ingin beristirahat bersama-sama keluarga bolehlah menyediakan makan sendiri seperti saya ni...,kerana di sini disediakan tapak untuk kita membuat barbeku ayam, daging, ikan dan sebagainya sambil bersantai. Angin kencang yang bertiup memudahkan para pengunjung untuk menyalakan api bagi membuat barbeku. Jom, kita makan sama........




          Sambil menikmati juadah yang telah disediakan, para pengunjung boleh duduk-duduk dan bergurau senda bersama-sama ahli keluarga sambil mendengar muzik. Disebabkan suasana yang nyaman dan mendamaikan ini pastinya kita dapat menikmati hidangan dengan berselera sekali. Jangankan ayam barbeku, ubi rebus dengan ikan masin dan sambal tumis pun sudah cukup menyelerakan. Setelah perut kenyang,....kita boleh baring-baring untuk melelapkan mata barang seketika. Amboi,.....lena sekali!



















         Selepas itu, para pengunjung boleh ambil angin dengan berjalan-jalan di tepi pantai yang bersih dan memutih itu sambil bermain air. Namun begitu, anda tidak dibenarkan bermandi-manda kerana ombaknya agak besar serta dasar laut di tempat ombak pecah dan ombak balik agak curam. Pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda amaran yang melarang para pengunjung bermandi-manda atau berenang di laut. Hampir saban tahun kita mendengar berita pengunjung lemas di tempat perkelahan ini kerana mereka tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sebagai akibat terlalu seronok, mereka lupa akan keselamatan diri atau ahli keluarga mereka. Oleh itu, para ibu bapa dinasihatkan agar berwaspada ketika berkelah di sini, khususnya mereka yang membawa anak-anak kecil, jangan biarkan mereka mandi di laut, terutama ketika ombak besar.





         Ok, jum..matahari pun kian condong ke ufuk barat dan banyak pengunjung telah mula meninggalkan tempat perkelaahan ini, biarlah saya dan keluarga saya meminta izin untuk pulang ke rumah. Namun begitu, berat rasanya hati ini untuk mengatur langkah meninggalkan pantai yang memiliki keindahan yang menakjubkan ini.  






       

Wednesday 12 November 2014

Majlis Ceramah UPSR 2014
Selasa 26 Ogos 2014




 Ceramah UPSR yang baru-baru ini diadakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar. Ceramah ini bukan sahaja dapat memberikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar bahkan juga mampu menyuntik semangat mereka untuk berjuang di dalam dewan peperiksaan. Saya doakan semoga anda semua dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang.                                   


Antara pelajar yang memporoleh anugerah cemerlang, berdasarkan pencapaian mereka yang amat membanggakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kertas 1 dan 2.



                            
Ceramah UPSR yang diadakan baru-baru ini mampu memberikan semangat dan  keyakinan kepada para pelajar pada saat-saat akhir sebelum mereka menduduki peperiksaan.
       


   Para pelajar yang berjaya menerima pelbagai cenderamata begitu gembira kerana merasakan bahawa segala usaha yang dilakukan oleh mereka selama ini membuahkan hasil dan dihargai. Setidak-tidaknya mereka akan lebih bersemangat untuk berusaha bagi mencapai kejayaan seterusnya, yang lebih penting dan bermakna untuk kecemerlangan masa depan mereka.
      Sebahagian daripada mereka yang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ialah mereka yang telah lama belajar di sini. Ada sesetengahnya mereka mula belajar di sini sejak mereka tadika lagi.
             Kepada mereka ini saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan.
Tidak lupa juga saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua ibu bapa pelajar yang memberikan sepenuh kepercayaan kepada saya untuk membimbing anak-anak mereka.
         

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN UPSR 2014.













   ANTARA PELAJAR-PELAJAR UPSR 2014



   UPSR BOLEH!  UPSR BOLEH!   UPSR BOLEH!
   KAMI DAPAT!   KAMI DAPAT!  
   Begitulah.. laungan yang penuh dengan semangat oleh para 
   pelajar UPSR sebaik-baik sahaja majlis ceramah UPSR 
   tamat.