BAHASA MELAYU

SEMUA PIHAK HARUS BERGANDING BAHU KE ARAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DAN BAHASA RASMI DI MALAYSIA.

Monday, 6 October 2014



MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA, USAHA-USAHA YANG DILAKUKAN DAN KEKANGANNYA.













          Usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebenarnya amat bergantung kepada kesedaran hakiki dalam sanubari setiap ahli masyarakat kerana kasih mereka terhadap negara, walau siapa pun mereka. Menghormati, mengguna, dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan ini mestilah dilakukan oleh setiap individu tanpa menunggu sebarang paksaan atau menanti sebarang bentuk pulangan. Langkah yang murni ini ialah tanggungjawab hakiki setiap individu terhadap negaranya.

         'Bahasa Jiwa Bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan akhir-akhir ini, bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'bahasa Melayu' yang bersifat perkauman sekali gus tidak releven dengan gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?



         Langkah perdana yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengetepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.

         Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris juga harus dihapuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak dapat dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di negara ini. Jika teras pentadbiran turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada suatu hari nanti, generasi akan datang tidak mengenali perkataan 'Melayu' lagi.Ironinya, usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris dilihat sangat proaktif sebagai pemangkian yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.





         Di samping itu, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) juga tidak harus dipandang enteng berikutan perkara tersebut mampu memperkasakan bahasa Cina dan bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa Malaysia di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari sudut yang berbeza, hal ini dapat menyemarakkan api perkauman bahkan tidak sejajar dengan gagasan 1 Malaysia. Maka polemik ini mungkin mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda kita secara holistik. 

         Sementelahan pula, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka haruslah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menarik minat umum terhadap keindahan bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia suatu ketika dahulu, dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil oleh DBP untuk mewujudkan 'jiwa bangsa' dalam kalangan masyarakat.



KEKANGAN YANG DIHADAPI KE ARAH MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA




1.  KEPELBAGAIAN KERANCUAN DALAM  SEBUTAN
Menurut Awang Sariyan ( 1994)), bahasa seseorang itu dikatakan baku apabila dia menguasai sistem ejaan, peristilahan, dan kosa kata serta tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.  Berikut disenaraikan kerancuan dalam bahasa Melayu dari segi sebutan.
1.1 Pengaruh Bahasa Ibunda
1.1.1   Satu daripada kesalahan umum penutur bukan Melayu ialah
kegagalan mereka mengenali perbezaan antara bunyi é dan e (schwa) semasa membaca dan menulis ( Abdullah Hassan, 1980:28) .  Perbezaan antara sepak dan sépak adalah jauh berbeza.  Begitu juga kebanyakan penutur Cina tidak dapat menyebut bunyi sengau lelangit keras ny dan lelangit lembut ng dengan tepat.  Oleh sebab ejaan setiap bunyi itu mempunyai dua lambang maka ia sering disebut sebagai dua bunyi.  Kadang-kadang penutur Melayu pun ada melakukan kesalahan ini.  Kesalahan tersebut sering terjadi apabila huruf gabung ny diucapkan sebagai dua bunyi iaitu n dan y/i, seperti dalam banyak atau ban-niak(sepatutnya ba-nyak), (ni-a-muk atau n-ya-muk sepatutnya nya-muk) dan lain-lain lagi.  Dalam hal ng juga, ndiasingkan daripada g seperti dalam ung-gu atau un-gu (sepatutnua u-ngu) dan tan-gan(sepatutnya ta-ngan) dan lain-lain lagi.2.1.2            Berikut ialah contoh pengguna bahasa Melayu menggunakan
terjemahan langsung, sama ada perkataan demi perkataan ataupun frasa, tanpa mengambil kira struktur bahasa Melayu yang betul.
Bahasa
Terjemahan
Ni hau ma?
Awak apa khabar?
What is your name?
Apa nama awak?
Dhosthi kya hai?
Persahabatan apakah itu?


2.2       Bahasa Pasar/ Basahan
2.2.1    Bahasa pasar atau basahan adalah bahasa yang digunakan dalam percakapan seharian.  Contohnya, orang Melayu yang memang terkenal dengan sifat merendah diri terbawa-bawa sikap ini ketika berkomunikasi dengan kaum asing.  Secara tidak langsung mereka telah menjadi model yang salah kepada orang bukan Melayu.  Sebagai contoh, ketika berkomunikasi di pasar, orang Melayu lebih suka menuturkan bahasa Melayu yang bertaraf rendah atau dikenali sebagai bahasa pasar atau bahasa pidgin (rojak).  Tindakan ini menyebabkan kaum asing meniru model yang diperlihatkan kepada mereka.  Akhirnya, sampai bila-bila  pun kaum asing dalam kelompok tersebut sukar untuk menguasai bahasa Melayu yang betul.
2.2.2             Lihat contoh perbualan yang sering diperhatikan di pasar, seperti berikut :
Yahya  :  Tauke, itu ikan parang,  belapa halga sekilo?
Tauke  :  Ampat belat.
Yahya  :  Kasi kulanglah, tauke.
Tauke  :  Mana boleh.  Sekalang, ikan susah lapat.
Yahya  :  Tak palah, tauke, timbang yang ini, tauke.
2.3 Bahasa Dialek/ Daerah
2.3.1                Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga dialek (dialék) bermaksud
satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah, negeri dan lain-lain lagi.  Pemilihan kepada penggunaan bahasa daerah boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Contohnya di sekolah, guru-guru mengambil jalan mudah dan cenderung menggunakan bahasa dialek atau daerah sebagai bahasa penghantar dengan alasan murid lebih mudah memahami sesuatu yang disampaikan oleh guru dan suasana pengajaran akan bersifat menghiburkan serta mudah menimbulkan situasi kemesraan antara guru dan murid.  Namun, tanpa disedari sikap ambil mudah ini akan melahirkan para pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa.  Para pelajar itulah juga yang kemudian akan menjadi manusia yang akan memegang jawatan yang penting dan berpengaruh seperti pentadbir, penulis editor, pemimpin politik dan sebagainya.
Dalam konteks masyarakat pula, pemilihan penggunaan bahasa dialek atau daerah ini waima dalam situasi-situasi rasmi adalah untuk memudahkan komunikasi dan juga mewujudkan kemesraan sesama mereka.  Seharusnya sikap ini dielakkan agar kekeliruan penggunaan bahasa Melayu dapat dibendung dan usaha pembakuan itu dapat mencapai satu tahap yang membanggakan.
2.3.2          Contoh-contoh bahasa dialek atau daerah yang sering digunakan
dalam kalangan pengguna bahasa Melayu Brunei, (daerah Papar, Sabah) adalah seperti berikut:
Bahasa dialek / basahan Baku
banar                                                   benar
basar                                                    besar
kadai                                                   kedai
butak                                                   botak
karang                                                             nanti
kan                                                      akan/ hendak
Lihat contoh ayat di bawah:
Bahasa dialek / basahan Baku
i)  Rumah itu basar.                             Rumah itu besar.
ii)  Kan ke mana kamu?                      Kamu hendak ke mana?
iii) Kemari kita?                                  Marilah ke sini.
iv) Karangku ke rumahmu.                 Nanti saya datang ke
rumah awak.
3.0              KERANCUAN DALAM TATABAHASA
Kekeliruan pengguna bahasa dalam tatabahasa juga merupakan salah satu sebab pelaksanaan pembakuan bahasa agak sukar dilaksanakan.  Kesilapan dalam tatabahasa ini  ini adalah termasuk kesilapan penggunaan kata pemeri adalah danialah, kata sendi nama dikedari dan daripadadi antara dan antara dan lain-lain lagi. Di samping itu, kekeliruan dalam tatabahasa ini juga, boleh merobah makna dalam sesuatu ayat jika ia tidak dititikberatkan.  Berikut disenaraikan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh pengguna bahasa Melayu.
3.1       Kesilapan Penggunaan adalah atau ialah
3.1.1                Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.  Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata ini ialah seperti berikut :
i )  Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Salah
Betul
Anak adalah anugerah Allah.Anak ialah anugerah Allah.
Beliau adalah orang yang pertama berhijrah.Beliau ialah orang yang pertama berhijrah.
Matlamat NURY adalah pembinaan masyarakat cemerlang.Matlamat NURY ialah pembinaan masyarakat cemerlang
ii) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Salah
Betul
Kursus ini ialah untuk kaum wanita.Kursus ini adalah untuk kaum wanita.
Baju itu ialah baik.Baju itu adalah baik.
iii) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.
Salah
Betul
Matlamat utama syarikat ini adalahmembantu para golongan muda.
Usaha yang dijalankan adalahmenerbitkan risalah.
Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda.
Usaha yang dijalankan adalah denganmenerbitkan risalah
iv) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Salah
Betul
Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa…Dengan ini dimaklumkan bahawa…
Adalah dimaklumkan bahawa…Dengan ini dimaklumkan bahawa…
v )        Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja
Salah
Betul
Keputusan ini diambil adalahberdasarkan…Keputusan ini diambil berdasarkan…
Para pelajar adalah dipelawa memohon…Para pelajar dipelawa memohon…
3.1.2 Kesimpulannya :
a )        Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja.
b)         Kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja.
3.2       Kesilapan Penggunaan Kata Sendi di
3.2.1                Pengguna sering terkeliru antara penggunaan di sebagai kata sendi dan disebagai imbuhan.  Bentuk ini berbeza dari segi penggunaan dan ejaannya.
i )         Kata sendi nama di
Kata sendi nama digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat dan ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya.  Contohnya :
Salah                                                               Betul
diangkasa                                                        di angkasa
disana                                                              di sana
dilaut                                                               di laut
Kata sendi nama di tidak boleh digunakan dihadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.  Contohnya :
Salah                                                               Betul
di abad ke – 20                                               pada abad ke-20
di saat ini                                                         pada saat ini
di zaman ini                                                     pada zaman ini
ii )        Imbuhan Awalan di
Seperti imbuhan yang lain, awalan di hendaklah dieja serangkai dengan kata yang menerimanya.  Awalan di membentuk kata kerja, iaitu kata kerja pasif diri ketiga.  Contohnya :
Salah                                                               Betul
di basahi                                                          dibasahi
di catat                                                            dicatat
di isi                                                                diisi
3.3 Kesilapan Penggunaan Kata Dalam Ayat
Penggunaan kata dalam ayat amat penting kerana penggunaan kata yang tidak tepat boleh menyebabkan terjadinya perubahan maknaBerikut disenaraikan ayat-ayat yang sering digunakan oleh pengguna bahasa Melayu :
Salah
Betul
Ada berbagai barang di kedai itu.Ada berbagai-bagai barang di kedai itu.
Ada pelbagai barang di kedai itu.
Ali dihadiahkan sebuah buku.Ali dihadiahi sebuah buku.
Sebuah buku dihadiahkan kepada Ali
Saya menghadiahkan Salim sebuah basikal.Saya menghadiahi Salim sebuah basikal.
Saya menghadiahkan sebuah basikal kepada Salim.
Dia merindukan anaknya.
Ibu meniduri adik.
Dia merindui anaknya.
Ibu menidurkan adik.
Hakim menjatuhkan pembunuh itu hukuman gantung.Hakim menjatuhi pembunuh itu hukuman gantung.
Bola itu ditendang oleh saya.
Bola itu Ali tendang.
Bola itu saya tendang.
Bola itu ditendang oleh Ali.
Di atas perhatian daripada pihak tuan, saya mengucapkan terima kasih.Atas perhatian daripada pihak tuan, saya mengucapkan terima kasih.
Saya tidak menyebelahi kedua belah pihak.Saya tidak menyebelahi kedua-dua pihak.
Setengah orang suka makanan manis.Sesetengah orang suka makanan manis.
Segala sesuatu yang dilakukan itu bergantung kepada niat seseorang.Segala sesuatu yang dilakukan itu bergantung pada niat seseorang.
Di antara yang hadir ke majlis tersebut ialah ibu saya.Antara yang hadir ke majlis tersebut ialah ibu saya.
4.0       FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB KERANCUAN  DAN KESANNYA    TERHADAP PROSES PEMBAKUAN
4.1 Faktor-faktor Penyebab Kerancuan
Banyak faktor yang menyebabkan kerancuan terjadi.  Menurut Awang Sariyan     ( 1994)
” Salah satu punca utama terjadinya kerancuan bahasa kita ialah wujudnya manusia yang bukan ahli tempat yang menentukan nasib bahasa Melayu itu sendiri.  Wajarkah kita menyalahkan para pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa jika bahasa yang diajarkan memang bahasa yang kacau dan dijalankan pula oleh manusia yang belum benar-benar mahir dalam selok-belok bahasa?”
4.1.1                Faktor yang pertama ialah gangguan daripada bahasa ibunda, dialek atau bahasa daerah, serta bahasa lisan atau bahasa pasar.  Tidak dinafikan penggunaan bahasa-bahasa tersebut sedikit sebanyak mengganggu usaha pembakuan bahasa Melayu kerana dengan penggunaan bahasa-bahasa tersebut di dalam kehidupan seharian, pengguna bahasa Melayu sukar untuk membandingkan bahasa baku yang betul dan tidak.
4.1.2                Pengaruh bahasa asing juga merupakan penyebab penutur bahasa Melayu melakukan kesalahan.  Kesalahan ini berlaku kerana penggunaan istilah yang tidak tepat.  Sebagai contoh, oleh sebab begitu ghairah untuk menggunakan bahasa Inggeris, maka banyak perkataan Inggeris telah cuba dimelayukan.  Perkataan bajet, misalnya, diambil daripada perkataan Inggeris, budget, dengan alasan lebih tepat.  Alasan yang dikemukakan ialah perkataan belanjawan membawa makna yang negatif, iaitu orang yang suka berbelanja.Pengaruh media massa juga merupakan faktor terpenting yang menyebabkan kerancuan terjadi.  Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen, atau akhbar sering menjadi ikutan pengguna bahasa.  Contoh terbaru yang dapat kita lihat ialah penggunaan istilah infotainmen yang telah diperkenalkan oleh RTM.  Penggunaan istilah tersebut masih diteruskan penggunaannya walaupun menerima kritikan tokoh bahasa.  Pencipta istilah ini tidak mengetahui bagaimana istilah baru dibentuk seperti yang ditetapkan oleh DBP dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia ( DBP, 1975) yang sudah menggariskan tujuh langkah pembentukan istilah.
4.1.3                Faktor ketiga ialah buku yang berbeza huraian atau pegangan.  Di negara kita ini, ada pelbagai buku, baik buku tatabahasa mahupun buku teks Bahasa Melayu, yang digunakan di sekolah.  Bagi pengguna bahasa yang mendalami bidang bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, mereka pernah didedahkan kepada buku tatabahasa yang ditulis Za’ba, Asmah Omar dan lain-lain.  Pelajar sekolah pula didedahkan kepada aspek tatabahasa berdasarkan buku tatabahasa pegangan, iaitu Tatabahasa Dewan.  Kekeliruan berlaku berpunca daripada ketidakseragaman huraian dari segi ejaan, golongan kata dan tatabahasa.
4.1.4                Faktor seterusnya ialah pengguna bahasa Melayu tidak mengetahui sistem bahasa.  Setiap bahasa di dunia ini mempunyai sistemnya tersendiri.  Oleh sebab pengguna bahasa tidak mengetahui sistem ini, maka mereka melakukan kesalahan.  Sebenarnya, bahasa Melayu mempunyai sistem, baik dari segi ejaan, morfologi mahupun sintaksis.  Lihat sistem bahasa Melayu tentang pembentukan apitan pe…an, seperti yang berikut:
  • Laksana – melaksanakan- pelaksanaan( bukan *perlaksanaan)
  • Lantik – melantik – pelantikan ( bukan *perlantikan)
4.1.5                    Faktor yang kelima ialah kejahilan dalam kalangan pengguna bahasa.  Ada sesetengah pihak yang mengaku tahu, tetapi sebenarnya tidak tahu, malah aspek bahasa yang salah dikatakan yang salah dikatakan betul, manakala aspek bahasa yang betul dikatakan salah.  Banyak kosa kata yang yang muncul sejak akhir-akhir ini yang memaparkan gejala tersebut.  Dalam kajian bahasa, gejala ini dikenali sebagai kejahilan bahasa.  Mereka yang terlibat dalam gejala ini tidak mahu mengambil kira pandangan ahli bahasa atau badan yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah bahasa.
4.2 Kesan Terhadap Proses Pembakuan Bahasa
Berdasarkan contoh-contoh kerancuan yang telah dibincangkan, sudah pasti ia memberi kesan terhadap proses pembakuan bahasa Melayu. Antara kesan-kesan tersebut ialah :
i)          Mutu bahasa Melayu baku lisan dan tulisan akan merosot.
ii)         Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan akan tergugat.
iii)      Bahasa Melayu yang indah akan dipinggirkan oleh
generasi Melayu.
iv)      Masyarakat Melayu akan lebih mengagungkan bahasa
asing dan berasa malu untuk bertutur dalam bahasa
Melayu.
5.0 PENUTUP
5.1 Kesimpulan
Daripada perbincangan di atas,  kesimpulan yang dapat diambil tentang hal ini ialah penguasaan bahasa oleh generasi muda kita, dari murid sekolah rendah kepada mahasiswa yang akan menjadi pemimpin negara adalah jauh dari memuaskan.  Kelemahan bahasa dapat dilihat dari beberapa aspek dari kesalahan ejaan kepada kesalahan tatabahasa dan kepada cara mengarang yang tidak berkesan dan tidak berjaya menyampaikan maksud.  Usaha untuk menjernihkan kekeliruan dan kekabutan perlu segera dilakukan untuk menghalang berlakunya kitaran krisis ilmu bahasa dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa Melayu.
5.2 Cadangan
Penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib adalah perlu untuk memastikan bahawa bahasa Melayu baku sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya pada papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, jalan, bangunan dan sebagainya. Demikian juga bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya. Majlis rasmi di peringkat kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Di samping itu, media elektronik perlu menyekat penggunaan bahasa yang tidak mengikut sebutan baku bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar, penutur dan pengguna bahasa Melayu.  Pengamal-pengamal media perlu turut bekerjasama memartabatkan bahasa Melayu yang bermutu tinggi.
DBP juga perlu diberi kuasa undang-undang untuk menegur dan mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang melakukan kesalahan bahasa.
Bagi syarikat-syarikat penerbitan majalah pula hendaklah mewujudkan satu biro khas berkaitan dengan bahasa baku agar makalah yang diterbitkan diedit dan mengikut bahasa baku yang betul.
Semoga dengan langkah-langkah ini, kerancuan bahasa Melayu











Sunday, 5 October 2014



KESALAHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU PADA PAPAN TANDA DAN PAPAN IKLAN DI NEGARA KITA.















APAKAH TINDAKAN YANG PATUT DIAMBIL BAGI MEMBENDUNG MASALAH PENGGUNAAN BAHASA MELAYU YANG SALAH PADA PAPAN TANDA.


Bagi mengelakkan masalah pencemaran bahasa ini, tanggungjawab sesebuah kementerian, jabatan atau agensi adalah sangat penting. Antara langkah yang boleh diambil oleh kementerian, jabatan atau agensi tersebut adalah seperti yang berikut:
(1) memastikan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan Bahasa Melayu yang baik dan betul dalarn semua urusan rasmi, sama ada secara tulisan mahupun lisan, dengan rakan sekerja dan apabila berurusan dengan pelanggan (kecuali urusan yang melibatkan negara asing dan untuk tujuan melatih pegawai dan kakitangan supaya fasih berkomunikasi dalam bahasa asing).

(2) mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, kawasan perumahan, premis pemiagaan dan lain-lain. Bahasa-bahasa lain boleh digunakan berdasarkan kepada keperluan sahaja;

(3) menjalankan latihan dan menganjurkan aktiviti secara berterusan yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pegawai dan kakitangan.

Dalam masa yang sama, DBP telah berusaha dalam pengembangan dan peningkatan kualiti bahasa di tempat awam melalui Pantau Tegur Bahasa. Pantau Tegur Bahasa bermaksud mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar bangunan ataupun di dalam bangunan, yang jika tidak dicegah dengan segera akan mencemarkan maruah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tataBahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan ayat, dan penggunaan laras, ataupun pencampuradukan Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagi memastikan tindakan segera diambil setelah proses pengenalpastian kesilapan dibuat, pemantau disediakan dengan sehelai borang untuk dipenuhi dan dipulangkan kepada DBP. Pegawai DBP yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera menghubungi syarikat atau agensi yang berkenaan bagi membuat pembetulan.
Selain itu, satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan terhadap paparan di tempat umum yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang diguna pakai oleh pihak DBP adalah dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam yang mencemar bahasa. Tindakan ini akan mengatasi masalah pencemaran Bahasa Melayu ini daripada berleluasa.

Dari segi pendidikan pula, para guru harus menitikberatkan cara penyampaian Bahasa Melayu di dalam bilik darjah terutamanya aspek tatabahasa dalam kalangan pelajar sejak di peringkat sekolah rendah lagi supaya pelajar-pelajar dapat mengetahui kelainan erti perkataan yang imbuhannya berbeza-beza dan menggunakannya dengan betul, tepat dan gramatis dalam lisan dan penulisan, menggunakan frasa yang betul serta menggunakan ayat dengan betul, tepat dan gramatis. Hal ini dapat disokong dengan kenyataan Yahya Othman (2005:11) bahawa rumus tatabahasa yang wujud perlu dipelajari secara beransur-ansur sehingga membentuk operasi kesatuan rumus yang utuh dan berupaya melakukan operasi membina ayat. Abd. Aziz Abd. Talib (2000:236) pula menyatakan bahawa pengajaran tatabahasa membolehkan pelajar-pelajar berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu pelajar menghasilkan ayat yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini akan mengelakkan penggunaan Bahasa Melayu yang tercemar dari segi tatabahasa.

Tambahan lagi, guru juga perlu menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur dan anggapan bahawa Bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Penguasaan Bahasa Melayu yang baik dan teratur dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta juga perlu diberi penekanan. Hal ini kerana merekalah yang akan menentukan sama ada menggunakan Bahasa Melayu yang tercemar ataupun tidak dalam urusan pentadbiran.

Pencemaran Bahasa Melayu ini juga dapat diatasi dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Malaysia. Hal ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan dilaksanakan apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda dan diluluskan Parlimen . Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan notis awam. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sharifuddin Ibrahim pula menyatakan bahawa DBKL sentiasa memantau bagi memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan. Menurutnya, semua pihak di bawah bidang kuasa DBKL terikat dengan Undang-undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan mereka meletakkan Bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan, sekali pun jika ada bahasa lain bersamanya.

Tambahan lagi, pucuk pimpinan yang menerajui negara juga berperanan untuk mengatasi pencemaran bahasa ini daripada berleluasa. Hal ini dapat dilakukan dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua pusat pengajian tinggi tidak kira awam ataupun swasta untuk semua jurusan. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2000:247), pucuk pimpinan perlu melancarkan “Wawasan Bahasa” terhadap pelaksanaan Bahasa Melayu sepenuhnya di pusat pengajian tinggi sama seperti pelancaran Wawasan 2020. Hal ini akan mengurangkan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan mahasiswa yang bakal menceburi alam pekerjaan kerana mereka terdedah dengan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan mereka. 

__________________________________________




 “Kelemahan penggunaan bahasa Melayu mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain di dalam bilik darjah”






Guru mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk menyebarkan ilmu dengan betul kepada pelajar-pelajarnya. Rata-rata pelajar hanya mengharapkan ilmu yang disampaikan oleh guru mereka tanpa berusaha untuk mencari atau menambahnya sendiri terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.Kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat kurang membaca termasuklah di kalangan pelajar sendiri.Pengaruh persekitaran juga turut pempengaruhi kelemahan pelajar menggunakan bahasa Melayu dengan betul(radio, televisyen, papan tanda dsbnya).Semua ini memberi kesan negatif terhadap pertuturan dan pembelajaran mereka. Daripada penulisan(terutama karangan)ada pelajar yang menggunakan loghat/dialek negeri mereka dan tidak kurang juga yang menggunakan singkatan(seperti 'sms') yang telah menjadi budaya masa kini. Guru-guru harus segera mencari jalan mengatasi masalah ini. Penggunaan bahasa Melayu yang betul harus diberi penekanan yang sewajarnya agar ia berada di tahap yang sepatutnya sebagai bahasa rasmi negara. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan seperti menganjurkan aktiviti/pertandingan bercerita, mendeklamasikan sajak, berbalas pantun dan lain-lain lagi. Selain waktu P&P, aktiviti-aktiviti ini juga boleh dijalankan semasa waktu kokurikulum dan kempen-kempen juga harus dipergiat dari semasa ke semasa secara menyeluruh. 





Pencemaran Bahasa Dalam Kalangan Pelajar

















Bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi di Malaysia,telah menjadi wahana pembinaan tamadun di Negara ini sejak berpuluh-puluh tahun dahulu,dengan mengambil kira dari tarikh keramat ini iaitu tanggal 31 Ogos 1957 sebagai titik permulaan.Jika dikaitkan dengan tamadun Melayu di rantau alam Melayu ini,maka Bahasa Melayu telah menjadi asas kepada pembinaan dan pembentukan tamadun kerana Bahasa Melayu telah dikesan menjadi bahasa terawal dalam tamadun awal di rantau ini pada awal abad masihi.Bahasa  merupakan alat perantara bagi kita menyampaikan perasaan atau pemikiran dalam bentuk tulisan,lisan atau isyarat.Justeru,kemahiran berbahasa perlu dipelajari,dan bukan berserah kepada kudrat semula jadi.Perkara yang ingin saya dibincangkan disini adalah berkaitan dengan pencemaran bahasa dalam kalangan pelajar yang semakin meruncingkan dewasa ini.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pencemaran bahasa.Salah satu faktornya adalah daripada pengaruh rakan sebaya.Masyarakat selalu menyalahkan pengaruh rakan sebaya apabila berlakunya sesuatu masalah yang melibatkan remaja.Bagi faktor ini, betapa mudahnya seseorang remaja mempengaruhi remaja yang lain kerana mereka sendiri tidak pasti akan identiti mereka sendiri.Maka,mereka lebih mudah menerima dan mengulang kembali apa yang dilakukan oleh kebanyakan rakan mereka.Ingin mengikut arus,‘trend’.Supaya tidak dikatakan ketinggalan zaman
            Pengetahuan yang lemah juga menyumbang ke arah pencemaran bahasa.Kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa rojak,SMS,bahasa lucah dan sebagainya adalah mereka yang mempunyai pengetahuan cetek dan tidak peka terhadap bahasa yang digunakan dalam berkomunikasi.Selalunya mereka akan menggunakan bahasa harian mereka terutamanya bahasa basahan iaitu bahasa pasar.Di samping itu,budaya asing yang meresap masuk ke negara kita juga merupakan salah satu punca pencemaran bahasa ini berlaku.Hal ini dapat dikaitkan dengan budaya hip-hop yang semakin popular dalam kalangan remaja di Malaysia.Budaya ini menjadi popular dengan kemunculan kumpulan-kumpulan muzik seperti Too Phat.Kemunculan muzik ini membawa kepada pencemaran bahasa kerana penciptaan lirik lagu menggunakan bahasa pasar.



            Selain itu,media massa juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pencemaran bahasa ini berlaku secara berleluasa pada masa ini.Bahasa yang digunakan oleh radio,televisyen,atau akhbar sering menjadi ikutan pengguna bahasa,misalnya drama-drama ataupun rancangan yang disiarkan di kaca televisyen kebanyakannya menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.Di samping itu,sebilangan orang besar dan juga orang ramai termasuk yang membuat ulasan apabila diwawancara di kaca televisyen turut menggunakan bahasa rojak.Perkara-perkara seperti ini membawa kepada berlakunya pencemaran Bahasa Melayu kerana orang ramai akan mudah terpengaruh dengan bahasa yang digunakan di media.
Kesan daripada pencemaran bahasa ini juga akan menyebabkan Bahasa Melayu yang indah akan dipinggirkan oleh generasi Melayu.Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu.Hal ini bermaksud, Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan bagi masyarakat Melayu untuk berkomunikasi antara satu sama lain.Bahasa Melayu mempunyai peranan yang sangat penting,iaitu sebagai bahasa kebangsaan,bahasa pentadbiran, bahasa pengantar,bahasa rasmi dan sebagainya.Dalam perbualan atau pertuturan kita seharian,kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu untuk memastikan Bahasa Melayu tidak ditelan arus pemodenan atau globalisasi.
Di samping itu, pencemaran bahasa ini akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan datang.Apabila bahasa tercemar maka ini akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut.Generasi akan datang akan terkeliru untuk memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian.Selain itu,jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut.
Kesan yang paling ketara adalah menyebabkan mutu Bahasa Melayu baku sama ada lisan atau tulisan mersot.Perkara ini dapat dilihat dalam bidang pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar.Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung dengan meluas,lama-kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut.Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah.Dengan demikian,mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun dan syair.












Bagi mengatasi masalah pencemaran bahasa adalah perlu langkah-langkah yang drastik diambil bagi memastikan pencemaran bahasa tidak berleluasa.  Antaranya ialah guru-guru perlu lebih prihatin semasa mengajar bahasa Melayu kepada pelajar. Setiap kesalahan pelajar ketika menggunakan bahasa Melayu perlu diatasi dengan segera. Aktiviti kebahasaan perlu sentiasa diadakan bagi memastikan kesalahan-kesalahan berbahasa boleh diperbetulkan. Ini akan mengurangkan kesalahan-kesalahan bahasa  dan sekaligus melahirkan pengguna bahasa yang betul. 


Selain itu, para pelajar sama ada  di peringkat rendah mahu pun di peringkat institusi pengajian tinggi perlu mengubah sikap menganggap bahawa bahasa Malaysia itu mudah. Para pelajar perlu sentiasa peka terhadap perkembangan bahasa Malaysia serta ingin meningkatkan pengetahuan dalam bidang bahasa ini. Para pelajar juga disarankan agar sentiasa menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Pelajar-pelajar juga disarankan agar banyak membaca buku-buku, majalah-majalah dan bahan bacaan yang tulis dalam bahasa Melayu dan seterusnya dapat meningkatkan pengetahuan
mereka dalam bahasa.
Di samping itu, media elektronik dan bukan elektronik perlu menyekat penggunaan bahasa yang tidak mengikut sebutan baku bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar, penutur dan pengguna Bahasa Melayu. Media massa ini juga berperanan untuk menyekat iklan-iklan dalam Bahasa Melayu yang menyalahi sistem Bahasa Melayu akibat daripada terjemahan yang salah.
Kesimpulannya,pencemaran bahasa ini merupakan suatu isu atau perkara yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.Namun,jika pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh teliti dan kerap,tidak mustahil bahasa kita akan menjadi bahasa antarabangsa yang berada di tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan.Oleh itu,bagi pihak-pihak penerbit majalah atau drama juga haruslah sedar yang mereka juga bertanggungjawab membawa pembaharuan dan penambahbaikan dalam bidang bahasa.Dari sinilah kita mendidik masyarakat agar menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan,sebutan,dan tatabahasa Bahasa Melayu.Akhir kalam ‘Bahasa menunjukkan bangsa’.salam.

























Thursday, 25 September 2014



BAHASA adalah alat komunikasi yang digunakan sebagai Lingua Franca, terutamanya untuk menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat. Bahasa Melayu boleh menjadi sebahagian bahasa ilmu kerana ia boleh berfungsi sebagai bahasa akademik yang selesa dengan laras-laras bahasa untuk memperkatakan pelbagai hal dalam aneka bidang ilmu moden. Lantaran itu dapatlah dikatakan bahasa Melayu mempunyai kekuatan ilmu yang setanding dengan mana-mana bahasa moden yang lain dalam memperkatakan konsep dan pemikiran ilmu moden yang kompleks dan abstrak.


Untuk menjadi bahasa ilmu, sesuatu bahasa itu harus mencapai taraf dan mempunyai ciri-ciri penting seperti keintelektualan bahasa harus mempunyai keupayaan menyampaikan buah fikiran atau hujah dengan tepat dan berkesan, khususnya dalam mengungkapkan kesinambungan dan kerumitan pemikiran. Hal ini dapat diasuh-asihkan dengan keupayaan bahasa tersebut di dalam penggunaan laras-laras bahasa yang tepat dan mencerminkan kejelasan pemikiran yang logik. Kesemua ini mampu dilakukan oleh bahasa Melayu kerana bahasa ini mempunyai perbendaharaan kata yang luas serta mempunyai sistem dan struktur tatabahasa yang komprehensif.

Bahasa ilmu juga perlu mempunyai ciri kesempurnaan iaitu sifat-sifat yang menjadikan satu-satu bahasa yang sesuai, tepat, tegas dan berkesan dalam sebarang situasi dan sebarang konteks penggunaannya. Oleh itu, bahasa yang sempurna adalah bahasa yang memperlihatkan sifat-sifat kestabilan dengan mempunyai peraturan-peraturan atau sistem seperti peraturan sebutan, peraturan pemaham imbuhan dan struktur ayat serta frasa-frasanya. Dengan mempunyai kestabilan tersebut bahasa Melayu boleh disifatkan bahasa berkodifikasi.

Selain mempunyai sifat kestabilan, bahasa Melayu juga mempunyai ciri-ciri kelenturan bahasa yang unik dan tersendiri. Hal ini bermaksud bahawa bahasa Melayu boleh menyesuaikan dan disesuaikan dengan alam sekitar dan pembaharuan-pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat. Ini bermaksud Bahasa Melayu berupaya dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan selera penuturnya tanpa mengorbankan sifat-sifat aslinya dengan kata lain, bahasa Melayu boleh menerima serta menyesuaikan diri dengan sistem ejaan dan sebutan baru pada kata-kata pinjaman sebagai mana ditetapkan oleh peraturan ejaan baru bahasa Melayu.

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang sempurna kerana mempunyai ciri-ciri kepelbagaian khususnya dalam cara dan gaya penyampaian sesuatu maksud, buah fikiran, perasaan mahupun pendapat. Dengan kata lain, kepelbagaian cara penyampaian yang dimiliki oleh bahasa Melayu itu tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu tidak terikat kepada satu cara atau gaya sahaja. Bahkan melalui kepelbagaian cara penyampaian ini juga akan dapat melahirkan kesan yang berlainan, oleh yang demikian, bahasa Melayu dapat digunakan mengikut keadaan atau situasi yang sesuai.

Bahasa Melayu juga mampu menjadi bahasa ilmu kerana bahasa ini mempunyai ciri-ciri berkesanan di dalam memberikan maksud dengan tepat dan berkesan. Bahasa Melayu bukan sahaja mempunyai istilah, susunan frasa dan ayat yang baik sesuai dan tepat, bahkan bahasa Melayu juga mempunyai ciri-ciri keindahan bahasa yang amat sukar ditandingi, khususnya dalam melahirkan perasaan, pendapat dan buah fikiran. Ini kerana ia mempunyai perkataan yang sedap didengar, menarik, dan dapat menyentuh perasaan hati para pembaca atau pendengarnya.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah sememangnya bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu keintelektualan, kesempurnaan, kelenturan, kepelbagaian dan berkesanan merupakan bukti kepadatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Walau bagaimanapun untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlulah ada kerjasama yang erat di kalangan masyarakat. Apabila wujudnya kerjasama di kalangan masyarakat, tidak mustahil bahasa Melayu digunakan secara luas di seluruh dunia khasnya di Nusantara sebagai bahasa ilmu.